Minggu, 02 Februari 2014

Minum air liur ‘wali’ jadi ‘sunnah’ pengikut Syiah

Kuala Lumpur: “Ajaran kami adalah ajaran Islam yang sebenar. Kami berkahwin secara sah dengan akad yang diwajibkan dalam Islam. Bukan hidup berpasangan secara haram.” Itu dakwaan seorang ‘Syeikh’ sebuah kumpulan Syiah di Lembah Klang mengenai perkahwinan secara mutaah (kontrak) yang diwajibkan kepada pengikut mereka.
Syeikh yang dianggap bertaraf ‘wali’ dalam kalangan pengikut kumpulan itu berkata, nikah mutaah yang diamalkan pengikut kumpulan itu sama seperti nikah lain kerana mengikut rukun nikah seperti dinyatakan dalam Islam iaitu pengantin lelaki dan perempuan, wali, saksi dan ijab kabul.

Katanya, perkahwinan mutaah bukan dilakukan secara paksaan, sebaliknya berdasarkan persetujuan bersama antara lelaki dan wanita yang ingin bernikah bagi mengelak mereka membujang, terutama dalam kalangan janda dan duda.
“Mutaah ini sebagai pemudah cara kerana Islam sebenarnya sangat mudah. Daripada mereka hidup tanpa nikah, lebih baik hidup bermutaah mengikut perjanjian yang dipersetujui bersama.

“Lagipun, kita tidak melihat ia sebagai ketidakadilan kerana kedua-duanya mendapat manfaat yang diperlukan masing-masing,” katanya.

Dia mendakwa pernikahan mutaah tidak boleh dilakukan sembarangan orang, kecuali menerusi imam atau syeikh yang diiktiraf.
Bagaimanapun, katanya, bagi imam atau syeikh tertentu, mereka boleh melafazkan akad nikah mutaah untuk diri sendiri hanya dengan kehadiran pasangan tanpa perlu jurunikah dan saksi.

Selain nikah secara mutaah, dia mendakwa meminum air liur ‘wali’ Syiah menerusi ciuman juga antara syarat wajib untuk bergelar pengikut Syiah.
“Air liur bukan sesuatu yang kotor. Selagi ia di dalam mulut, ia air bersih lagi suci. Ia jadi kotor apabila kita meludahnya.

“Minum air liur adalah ‘sunnah’ dan sesiapa yang mengambilnya (menelan), terutama air liur wali, akan masuk syurga,” dakwanya.

Dia mendakwa tidak wujud perbezaan antara penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dengan Syiah kerana mereka masih memperakui Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul.

Katanya, yang membezakan fahaman Syiah dengan Sunni hanya disebabkan mereka lebih mengagungkan Saidina Ali RA, menyambut Hari Asyura secara besar-besaran dan mengamalkan jamak solat fardu iaitu Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak pada bila-bila masa (tanpa perlu bermusafir) bagi memudahkan umat Islam beramal.

“Setiap amalan ini bukan rekaan, tapi berdasarkan hukum yang diputuskan ulama kami. Nampak memang berbeza, tapi kami masih tetap dengan pegangan Islam.

“Terpulang kepada orang lain untuk menerimanya atau tidak. Cuma kami menjalankan kegiatan keagamaan tanpa menyusahkan orang lain atau melancarkan perang terhadap sesiapa,” katanya
myMetro

0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © info gratis Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger